Rabu, 9 September 2026BM
Edisi Bahasa Melayu
Nasional

Tiga Maut, Tiga Cedera Perodua Viva Terbabas Di Kunak-Semporna

Sebuah Perodua Viva membawa enam penumpang tergelincir dan terbabas di KM7 Jalan Kunak-Semporna, meragut tiga nyawa termasuk pemandu.

Tiga Maut, Tiga Cedera Perodua Viva Terbabas Di Kunak-Semporna
Foto: Ilya Plekhanov · CC BY-SA 3.0

KUNAK, 26 Ogos — Tiga orang maut dan tiga lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan terlibat kemalangan di KM7 Jalan Kunak-Semporna semalam.

Ketua Polis Kunak, Supt Rejali Ak Angong berkata dalam kejadian jam 6.03 petang itu, pemandu dan dua penumpang disahkan mati di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan.

"Dalam kejadian itu, sebuah Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama lima penumpang terdiri daripada dua dewasa dan tiga kanak-kanak, dalam perjalanan dari Kalabakan pulang ke rumah mereka di Kampung Sungai Langgas di sini.

"Setibanya di lokasi tersebut, pemandu kereta itu hilang kawalan, dan kenderaan itu terbabas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rejali berkata kemalangan itu turut menyebabkan seorang penumpang cedera parah dan dua lagi cedera ringan. Mereka dihantar ke Hospital Kunak untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rejali turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu. — Bernama

Artikel ini dihasilkan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) mengikut polisi editorial kami.

kemalangan jalan rayaKunakSempornaSabahPerodua Viva
Tiga Maut, Tiga Cedera Perodua Viva Terbabas Di Kunak-Semporna | Harian Malaysia